2) Terdetik hati saya untuk mencoretkan semua ini kerana tidak mahu bangsaku dijajah lagi. Tidak mahu bangsaku dihina lagi. Tidak mahu bangsaku layu terkulai bagaikan dipukul taufan. Bukankah sejarah telah menjadi pengajaran dan panduan buat kita semua? Sesuatu bangsa itu hebat apabila bangsa itu hebat dari segi keilmuanya. Bukankah sesuatu bangsa itu hebat apabila bangsa itu mampu melahirkan ramai para cendekiawan terbilang? Bukankah sesuatu bangsa itu hebat jika bangsa itu mampu menjadi ikutan oleh bangsa-bangsa yang lain? Bukankah sesuatu bangsa itu hebat apabila mampu menjadi pencipta dan pengeluar selain daripada pengguna? Hari ini berapa ramai rakyat Malaysia yang tahu hakikat ini semua?
3) Saya ingin berkongsi dengan para pembaca berkenaan dengan sejarah keilmuan di dunia ini, tahukah kita zaman kegemilangan ilmu pengetahuan suatu ketika dahulu bagaimana ilmu itu berkembangan dari suatu bangsa ke suatu bangsa yang lain?
4) Ya, jika kita menelusuri sejarahnya kita akan dapati ilmu itu akan dikuasai oleh susuatu bangsa yang ahli dalam bahasa ilmu itu. Saya ingin membawa para pembaca melihat dan untuk merenung perkara ini. Suatu ketika dahulu zaman kegemilangan Islam telah berkembang dengan pelbagai disiplin Keilmuan dalam pelbagai bidang dan aspek. Pada zaman ini, lahir golongan cerdik pandai matematik, sains dan teknologi, kedoktoran, kimia, fizik, astronomi, geologi, dan bermacam-macam lagi bidang yang tak tertulis di sini. Mungkin kita pernah mendengar nama-nama tokoh ini. Antara tokoh ilmuan yang terkenal ialah Al-Khawarizmi. Nama penuhnya ialah Muhammad Ibn Musa Al-Khawarizmi dan dikenali sebagai bapa algebra. Beliau pakar dalam bidang matematik dan astronomi. Antara buku-buku terkenal hasil tulisan beliau ialah Hisab Al-Jabr wal Mugabalah (Buku Pengiraan, Perbaikan dan Pengurangan) dan Algebra.
5) Selain itu, Al-Battani atau Muhammad Ibn Jabir Ibn Sinan Abu Abdullah adalah bapa trigonometri dan dilahirkan di Battan, Damsyik. Beliau putera Arab dan juga pemerintah Syria. Al-Battani diiktiraf sebagai ahli astronomi dan matematik Islam yang tersohor. Beliau berjaya meletakkan trigonometri pada tahap yang tinggi dan merupakan orang pertama yang menghasilkan jadual cotangents. Dalam bidang perubatan pula, siapa yang tidak mengenali Ibnu Sina atau Abu Ali Al-Hussain Ibn Abdallah Ibn Sina atau dikenali sebagai Avicenna di dunia barat, yang mana merupakan salah seorang pakar sains Iran yang hidup antara tahun 981 - 1037. Walaupun Ibnu Sina menguasai pelbagai ilmu pengetahuan termasuk falsafah tetapi beliau lebih menonjol dalam bidang perubatan sama ada sebagai seorang doktor ataupun mahaguru ilmu tersebut.
6) Bagi bidang kimia pula Jabir Ibn Haiyan atau nama penuhnya Abu Musa Jabir Ibn Hayyan Al-Azdi atau dikenali sebagai Geber di dunia barat merupakan salah seorang pakar sains Islam. Abu Musa Jabir Ibn Hayyan ini kadang kala dipanggil dengan nama al-Harrani dan al-Sufi. Beliau juga dikenali sebagai Bapa Kimia. Beliau merupakan anak kepada penjual ubat. Sumbangan terbesar beliau adalah beliau memperkenalkan penyiasatan penyelidikan dalam bidang kimia yang mengubah dalam bentuk yang lebih moden lagi. Makmalnya menjadi terkenal selama beberapa abad tetapi kemasyhurannya diabadikan pada 100 buah buku ilmiah dan 22 daripadanya berkaitan dengan kimia dan alkimia.
7) Semua contoh-contoh yang saya nyatakan di atas bukan untuk kita sebut dan untuk dibanggakan semata-mata tetapi untuk kita renungkan apa impaknya pada dunia selepas itu. Sejarah telah membuktikan ramai tokoh-tokoh barat dan Eropah serta serata dunia datang berbondong-bondong untuk mempelajari ilmu pengetahuan. Mereka sanggup meredah lautan untuk datang ke Andalusia, Mesir, Baghdad, dan Parsi untuk mempelajari bidang-bidang ilmu tersebut. Apa yang mereka buat dan lakukan untuk mempelajari kesemua ilmu ini? Ya mereka mempelajari bahasa ilmu itu. Jika ilmu itu ditemukan oleh bangsa Arab yang menuturkan bahasa Arab, mereka yang ingin mempelajari ilmu ini akan berusaha untuk mempelajari bahasa arab sebagai bahasa ilmu ketika itu.
9) Kemudian setelah golongan cendikiawan daripada Barat dan Eropah ini telah benar-benar menguasai ilmu yang mereka pelajari daripada orang-orang Islam, mereka mula memperbaharui ilmu dengan mengubahsuai dan menambahbaik disiplin ilmu yang mereka perolehi. Seterusnya demi perasaan cinta pada bangsa dan negara mereka menterjemahkan apa yang dipelajari kedalam bahasa mereka sendiri. Lihat sahaja German di Eropah yang mana telah berlaku berjuta-juta cetakan bahan ilmiah yang mana karya-karya dalam bahasa Arab dan Parsi diterjemahkan dalam bahasa German. Akhirnya di Eropah telah muncul sebagai zaman pembaharuan yang terkenal dengan jolokan “Renaissance”.
10) Mengapa kita tidak mahu mempelajari hakikat daripada sejarah? Sejarah telah membuktikannya. Mengapa kita tidak mahu mengambil peluang daripada PPSMI ini, mengapa kita tidak mahu mengusai bahasa ilmu ini? Adakah kita tidak dapat menerima hakikat bahawa bahasa Inggeris kini merupakan bahasa pada zaman ini sama seperti bahasa Arab yang pernah menjadi bahasa ilmu yang terkemuka pada suatu ketika dahulu.
11) Mengapa Eropah dan Barat boleh lakukan? Adakah kerana kita ini tidak berambut putih? Adakah kerana kita ini tidak mempunyai iklim empat musim? Adakah kerana jatuhnya maruah kita jika kita mempelajari bahasa ini? Allah telah berfirman di dalam Al-Quran bahawa “Allah akan mengangkat darjat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berilmu itu dengan beberapa darjat.” Surah Al-mujadalah ayat 11.
12) Bukahkah ilmu itu luas, jika kita orang mukmin, bukankah semua ilmu itu daripada Allah, tidak kiralah apa-apa bahasa sekalipun ilmu itu.
13) Saya juga ingin memberi pendapat bagi orang yang sering menyatakan kenapa Jepun dan Korea tak perlu belajar bahasa Inggeris tetapi boleh berjaya dan menjadi negara maju. Untuk pengetahuan semua, negara tersebut pun sekarang ini telah menyeru rakyatnya untuk belajar dan menguasai bahasa Inggeris kerana menyedari kepentingannya. Tidak rugi untuk mempelajarinya, kita pun untung kerana mengetahui bahasa orang lain.
14) Kita kena belajar daripada sejarah yang silam, sekarang ini buangkanlah politik picisan yang tidak sihat yang masih bersarang di benak kita. Kita ambil yang positif untuk perkasakan rakyat Malaysia demi mencapai suatu bangsa yang disegani bukan sahaja pada dunia Islam bahkan kepada seluruh dunia.
16) Kesimpulannya, bukan bahasa Inggeris sahaja yang menjadi keutamaan, bahasa-bahasa lain seperti mandarin, perancis, bahasa Arab juga sangat penting untuk kita pelajari. Semakin tinggi penguasaan kita terhadap bahasa-bahasa ilmu ini, insya-Allah kita mampu mengangkat martabat rakyat dan negara kita ke persada dunia seiring dengan negara-negara maju yang lain.
AFANDY TANJUNG
Sayang bangsa.