Jika merujuk kepada gejala sosial ini, saya yakin dan percaya bahawa akan terpacul dalam pemikiran kita semua bermacam-macam jenis salah laku yang muncul dalam masyarakat. Baik dari sekecil-kecil perkara hinggalah kesebesar-besar perkara. Soal halal haram tidak lagi menjadi agenda peribadi bahkan ianya dianggap sebagai satu perkara yang tidak berguna bagi masyarakat khususnya remaja pada hari ini. Masyarakat hari ini didapati sibuk dengan menjaga tepi kain diri-sendiri semata-mata tanpa melihat individu lain yang berada dalam persekitaran tersebut.
Mengapa perkara ini terjadi? Di manakah kesedaran Mahasiswa? Apakah mahasiswa dewasa ini tidak berisi dengan kerohanian dan sahsiah yang terpuji? Di mana silapnya? Kepada semua pembaca, baru-baru ini saya dijemput untuk menjadi panelis dalam Forum Bicara Siswa RTM 1, yang mana forum kali ini bertajuk "Gejala Sosial dan Peranan Mahasiswa". Cukup menarik untuk mengupas isu ini. Antara rakan Panel yang dijemput untuk sama-sama mengupas isu ini ialah saudara Mohd Farid bin Din (Yang Dipertua Majlis Perwakilan Universiti Sains Islam Malaysia atau USIM), dan saudara Rashidi (Yang Dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Kolej Universiti Islam Selangor atau KUIS) yang dipengerusikan oleh En. Suhaimi(pengacara TV1).
Dalam forum ini, saya cukup tertarik dengan persoalan yang dilontarkan kepada ketiga-tiga orang ahli panel, iaitu apakah skala yang boleh diletakkan dalam isu sosial pada hari ini? Rata-rata semua ahli panel menyatakan bahawa ia berada di tahap serius.
Ini bermakna perkara ini amat membimbangkan kita. Terkini didapati dalam akhbar METRO yang bertarikh 1 Jun 2008 di muka surat hadapan yang bertajuk "Amal Hidup Bebas", yang mana wanita yang masih berpakaian sekolah hanya menawarkan RM5 untuk perkhidmatan seks!! Di mana letaknya maruah diri pelajar ini? Apakah didikan agama dan moral masih kurang diterapkan oleh pihak sekolah dan ibu bapa wanita itu sendiri sehingga sanggup menggadaikan maruah demi wang ringgit. Di mana peranan kerajaan pula dalam menangani isu seperti ini!!?
Dalam dunia yang tanpa sempadan ini, era teknologi memainkan peranan, telefon mudah alih yang mana boleh dikatakan bahawa semua orang memilikinya menjadi satu trend baru golongan belia melanggan perkhidmatan seks ini. Dalam perkara ini, pelbagai pihak mendakwa satu kaedah baru diperlukan untuk menangani perkara ini dari terus merebak atau menular ke dalam masyarakat. Bagi saya, soal kaedah baru atau terbaru tidak sepatutnya timbul, daripada forum berkenaan apa yang boleh disimpulkan ialah keadaan diri individu itu sendiri. Ini kerana dalam diri manusia itu ada, tiga komponen utama iaitu akal, hati dan nafsu.
Apakah makanan komponen tersebut? Cukup Menarik kupasan yang disampaikan oleh ahli panel yang ketiga, saudara Rashidi, jika akal diberi makan dengan ilmu yang benar, ia dapat membezakan yang mana benar dan yang mana salah, jika hati diberi makan dengan iman, hati itu akan menundukkan orang itu kepada pencipta, manakala nafsu pula, jika diberi makan dengan mengekangnya daripada menurutinya, akan lahir sifar yang sabar dan lebih berhati-hati.
Segala pengaruh dari budaya kuning semakin menjadi-jadi, soal dosa pahala, halal haram dipandang sebagai musuh masyarakat, jika ini berterusan maka akan lahirlah satu golongan yang hanya memuaskan hawa nasfsu semata-mata seperti mana yang pernah dikatakan oleh Ibnu Khaldun iaitu jika ingin melihat sesebuah negara itu, lihatlah pemudanya di masa kini. Jika pemuda-pemudinya pada hari ini mempuyai sifat yang terpuji dan sahsiah yang mulia akan lahir satu masyarakat yang memakmurkan negara.
Tetapi sebaliknya, jika pemuda dan pemudi pada hari ini mempunyai sifat-sifat yang keji, maka akan lahirlah satu masyarakat yang akan meruntuhkan negara itu.
Ketika saya sedang menulis semua ini, saya tiba-tiba teringat kes yang berlaku di Universiti Malaya di mana surau diconteng, kebakaran di Bangunan Peperiksaan dan yang paling menyedihkan lagi ialah sehari selepas Bangunan Peperiksaan dibakar, pejabat Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya pula yang menjadi mangsa. Di manakah nilai kemanusian dalam diri indvidu yang melakukan perkara tersebut?(rujuk gambar-YDP MPP se-Malaysia turut sama melihat kesan kebakaran tersebut.)

Saya melihat ramai orang terutamanya dalam masyarakat di Malaysia ini sibuk dan kecoh bila harga material naik!!! tidak kitalah kerajaan atau pembangkang, semuanya kecoh dan sibuk bagaimana cara untuk mengatasi masalah kenaikan harga barang ini. Tapi berapa ramai dalam kalangan kita ini sibuk memikirkan betapa teruknya penurunan harga Nilai Diri Manusia itu sendiri.
Hari ini, nilai diri manusia itu boleh dianggarkan dengan wang ringgit. Untuk mendapatkan top up RM10, sanggup menggadai maruah diri. Di mana pejuang-pejuang untuk meningkatkan harga diri manusia ini baik dari dalam kerajaan mahupun bukan kerajaan?? Di mana?? Adakah cukup dengan berpeluk tubuh dan menanti pipih datang melayang dan bulat datang bergolek dalam mengatasi masalah ini?
Marilah semua, kita tingkatkan harga nilai diri kita, keluarga kita dan masyarakat kita. Kita mesti menjadi satu bangsa yang dirujuk jika inginkan satu perubahan yang baik dalam masyarakat dan negara kita. Ingatlah bahawa untuk mencapai kearah tersebut sudah tentu banyak cubaan dan dugaan yang terpaksa kita tempuhi.
Janganlah jadikan isu-isu semasa yang berlaku pada hari ini sebagai kelemahan kita, bahkan jadikanlah sebagai satu cabaran dan kekuatan untuk terus bersama-sama dan bersatu tidak kita apa pegangan kita samada bangsa Melayu, Cina, India, Rungus, Kadazan, Murut dan lain-lain lagi.
Apa yang paling penting matlamat kita untuk melahirkan satu ummah yang berjaya dalam semua perkara ukhrawi dan duniawi perlulah dijadikan agenda yang utama oleh semua pihak. Semoga Malaysia yang tercinta ini akan terus mekar dalam meniti gelombang dunia yang semakin meruncing dan semoga akan lahir rakyat Malaysia yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan untuk membangunkan negara yang tercinta ini sesuai dengan ajaran dan panduan yang Maha Esa.
Marilah semua rakan-rakan mahasiswaku kita mengorak langkah bersama-sama.