Salam sejahtera kepada semua...
Saya masih teringat kepada Forum Intelek yang di anjurkan oleh Exco Akedemik dan Kerjaya Majlis Perwakilan Mahasiswa UM sesi 2007/08. Dalam forum ini mahasiswa ditekankan agar memahami konsep menuntut di gedung ilmu, sentiasa berfikiran terbuka, dan menjadi agen perubahan yang lebih baik kepada masyarakat. Antara tokoh yang dijemput ialah Pak Ungku(Mantan Naib Canselor UM), Pofesor Emeritus Dr Khoo Kay Kim (Pensyarah di Jabatan Sejarah UM), dan Tuan Hj Husyim Salleh (Pakar Motivasi dan Bekas Pensyarah UM).
Jika kita meneliti sejarah, sejarah ibarat “mahaguru” yang paling bermakna dan berkesan sebagai menjadi cermin untuk kita mengenal, mengukur, memahami, menyedari, mengetahui, mencorak, dan mengambil sebagai iktibar, bukan sahaja pada diri bahkan pada kelompok masyarakat dan juga negara. Sejarah mengajar kita menjadi lebih dewasa dalam meniti arus dunia yang sentiasa bergerak pantas yang sering kita sebut dengan perkataan “globalisasi”.
Menyentuh perkara ini, benarlah apa yang pernah diucapkan oleh bapa sejarah dunia, Herodotus dengan kata-kata keramatnya, iaitu "phanta rei khei uden menei", yang membawa maksud “dunia ini sentiasa mengalir” (dunia sentiasa berubah). Dapat kita fahami di sini ialah satu keadaan yang mana jarak pada suatu ketika dahulu jauh, kini menjadi dekat, masa yang terlalu lama atau panjang ketika hendak ke sesuatu destinasi, kini menjadi singkat dengan adanya kenderaan moden dan canggih seperti pesawat, dan macam-macam lagi perubahan yang sedang dialami oleh dunia hari ini.
Dahulu, mengikut teori Darwin yang terkenal dengan teori evolusinya, iaitu siapa yang kuat, dialah yang menjadi pemenangnya, tapi kini banyak teori yang menjadi pencetus kepada perubahan arus dunia, antaranya teori Edward De Bono. Teori menjadi tempat dalam menentukan corak arus globalisasi. Teorinya yang berteraskan pemikiran lateral (Lateral Thinking)iaitu, yang bertunjangkan pemikiran yang kreatif dan kritis menyumbang kearah kemajuan dalam sesebuah ketamadunan masyarakat.
Saya menyentuh isu ini kerana di mana kesedaran kita sebagai warganegara Malaysia yang mendakwa sebagai rakyat kepada negara ini? Tetapi membuat acuh tak acuh tentang isu-isu semasa yang melibatkan negara kita dengan negara lain, yang mana isu-isu tersebut memberi impak yang besar kepada negara. Contohnya, isu batu putih yang melibatkan negara Singapura dengan negara Malaysia. Walaupun isu ini sudah lama diperdebatkan, berapa ramai diantara kita mahasiswa yang mengetahui perkara ini?
Bagi mereka yang mengambil tahu perkara ini, sudah tentu akan menyedari bahawa isu ini berkaitan dengan maruah dan jati diri sesebuah negara.Sepatutnya dengan informasi seperti ini sepatutnya akan memberikan satu suntikan kesedaran kepada kita bahawa kita akan dipijak dan diinjak oleh negara lain jika kita masih lalai dan berada di takuk yang lama. Jika kita masih lagi menjadi bangsa yang tidak menjadikan ilmu sebagai teras utama, kita akan mengalami satu zaman yang boleh saya katakan sebagai satu zaman gelap yang mana mungkin lebih teruk daripada zaman gelap yang berlaku di Eropah.
Jika di Eropah, zaman gelapnya hampir 1000 tahun berdasarkan penyelewengan yang dibuat oleh gereja, yang mana golongan gereja menyekat perubahan yang dibawa oleh golongan cendikiawan pada masa itu untuk membangunkan negara, yang mana kebanyakan mereka dibunuh, tetapi zaman gelap yang saya maksudkan di sini ialah masyarakat kita akan menjadi satu bangsa yang hanya mengikut rentak negara yang kuat semata-mata, bak kata orang ”kalau suruh lompat, dia lompat, suruh diam, dia diam dan suruh mati, dia bunuh diri.” inilah bangsa yang mindanya kelas keempat, bahkan mungking lebih teruk lagi!Bangsa seperti inilah yang kita tidak mahu berlaku pada masa akan datang, yang mana jati diri, dan semangat untuk membela agama, bangsa dan negara luntur dalam diri warganegara Malaysia.
Terpanggil saya untuk menyatakan semua ini adalah kerana sedih melihat masyarakat pada hari ini yang tidak peka dengan isu-isu semasa yang boleh menggugat jati diri bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Tidakkah kita sedar apa yang akan terjadi pada negara yang kita akui sebagai negara yang kita sayangi ini jika negara kita menjadi porak-peranda disebabkan timbulnya konflik antara kita dengan dunia luar disebabkan kelemahan kita sendiri?
Kita seharusnya bersyukur dengan apa yang kita peroleh sekarang ini dengan terus berusaha tanpa jemu dan alpa dengan kemewahan yang ada pada negara kita. Sebagai mahasiswa, kita kena menyedari bahawa kita mesti mencapai sebuah negara yang maju agar jati diri setiap warganegara Malaysia terus terpelihara dan dihormati oleh semua negara di seluruh dunia. Maksud saya maju dan bagus dalam akhlak dan pembangunan kebendaan iaitu duniawi dan ukhrawi.
Adakah kita sudah bersedia untuk menghadapi WAWASAN 2020 di mana tinggal 12 tahun saja dari sekarang yang mana wawasan ini merupakan satu agenda kita untuk menjadi sebuah bangsa yang maju dan berjaya setanding dengan negara barat dan Eropah? Adakah kita rela pada tanggal 31 Disember 2019, di mana Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu mengumumkan bahawa kita telah gagal menjadi sebuah negara maju yang kita inginkan menjelang 1 Januari 2020?
Apakah perasaan kita semua pada ketika itu? Adakah pada ketika itu kita mahu saling salah-menyalahkan, tuduh-menuduh antara kita atas kesalahan kita sendiri kerana gagal mencapai misi wawasan kita?Sedarlah wahai semua mahasiswa! Jarak masa untuk menuju wawasan 2020 yang kita tunggu-tunggu ialah tinggal 12 tahun sahaja lagi, 12 tahun sahaja lagi.
Banyak perkara yang perlu kita lakukan untuk menjadikan wawasan itu menjadi satu realiti. Apa yang penting sekarang ini ialah kita mesti menjadi bangsa kita sebagai suatu bangsa Malaysia yang dikenali, suatu bangsa Malaysia yang dikagumi, dan suatu bangsa Malaysia yang dihormati oleh seluruh dunia.Tidak lain, tak bukan ialah kita mesti menjadi suatu ”bangsa yang dirujuk" atau atau refered sosiety”.
Apabila kita menjadi bangsa yang dirujuk, kita akan menjadi satu bangsa yang dipandang mulia dan dihormati. Misalnya, lihat sahaja Tamadun Islam yang Menguasai dunia hampir 700 tahun sudah memadai untuk kita sedari betapa pentingnya untuk menjadi negara bangsa yang dirujuk. Tamadun-tamadun dunia yang lain pun mengiktirafnya.Pada ketika mana tamadun Islam pernah menjadi peneraju kepada halatuju dunia, tamadun ini menjadi tumpuan dalam segala aspek kehidupan.
Katakan kepada saya bidang apakah yang tidak mereka ketahui? semuanya mereka tahu! Masyarakat yang hidup dalam tamadun ini bukan sahaja menghafaz Al-Quran dan hadith, bahkan mereka turut menguasai pelbagai ilmu pengetahuan yang mana hasil ilmuan mereka diguanapakai lebih ratusan tahun lamanya. Bidang-bidang ilmuan ini termasuklah bidang perubatan, ekonomi, kimia, biologi, fizik, astronomi, matematik, dan berbagai-bagai lagi yang tidak dapat saya nyatakan di sini kerana terlalu banyak.
Antara tokoh ilmuan yang terkenal ialah Al-Khawarizmi. Nama penuhnya ialah Muhammad Ibn Musa Al-Khawarizmi dan dikenali sebagai bapa algebra. Beliau pakar dalam bidang matematik dan astronomi. Antara buku-buku terkenal hasil tulisan beliau ialah Hisab Al-Jabr wal Mugabalah (Buku Pengiraan, Perbaikan dan Pengurangan) dan Algebra. Pada kurun ke-12, Gerard of Cremona dan Roberts of Chester telah menterjemahkan buku algebra Al-Khawarizmi ke dalam bahasa Latin. Terjemahan ini digunakan di seluruh dunia sehinggalah kurun ke-16.
Selain itu, Al-Battani atau Muhammad Ibn Jabir Ibn Sinan Abu Abdullah adalah bapa trigonometri dan dilahirkan di Battan, Damsyik. Beliau putera Arab dan juga pemerintah Syria. Al-Battani diiktiraf sebagai ahli astronomi dan matematik Islam yang tersohor. Beliau berjaya meletakkan trigonometri pada tahap yang tinggi dan merupakan orang pertama yang menghasilkan jadual cotangents.
Dalam bidang perubatan pula, siapa yang tidak mengenali Ibnu Sina atau Abu Ali Al-Hussain Ibn Abdallah Ibn Sina atau dikenali sebagai Avicenna di dunia barat, yang mana merupakan salah seorang pakar sains Iran yang hidup antara tahun 981 - 1037. Walaupun Ibnu Sina menguasai pelbagai ilmu pengetahuan termasuk falsafah tetapi beliau lebih menonjol dalam bidang perubatan sama ada sebagai seorang doktor ataupun mahaguru ilmu tersebut.Ibnu Sina mula menjadi terkenal selepas berjaya menyembuhkan penyakit Putera Nub Ibn Nas al-Samani yang gagal diubati oleh doktor yang lain. Kehebatan dan kepakaran dalam bidang perubatan tiada tolok bandingnya sehingga beliau diberikan gelaran al-Syeikh al-Rais (Mahaguru Pertama).
Bagi bidang kimia pula Jabir Ibn Haiyan atau nama penuhnya Abu Musa Jabir Ibn Hayyan Al-Azdi atau dikenali sebagai Geber di dunia barat merupakan salah seorang pakar sains Islam. Abu Musa Jabir Ibn Hayyan ini kadang kala dipanggil dengan nama al-Harrani dan al-Sufi. Beliau juga dikenali sebagai Bapa Kimia. Beliau merupakan anak kepada penjual ubat. Sumbangan terbesar beliau adalah beliau memperkenalkan penyiasatan penyelidikan dalam bidang kimia yang mengubah dalam bentuk yang lebih moden lagi. Makmalnya menjadi terkenal selama beberapa abad tetapi kemasyhurannya diabadikan pada 100 buah buku ilmiah dan 22 daripadanya berkaitan dengan kimia dan alkimia.Beliau juga telah menemukan mineral dan asid lain yang disediakan bagi alembicnya yang pertama. Alembic merupakan salah satu ciptaannya yang teragung yang menjadikan proses penyulingan lebih mudah serta bersistematik. Sumbangan beliau yang lain ialah seperti pengkristalan penyulingan, pengoksidaan serta pelbagai teknik lain dalam bidang kimia.
Masyarakat seperti inilah yang kita inginkan untuk mewarnai negara kita, agar negara kita dapat menjadi sebuah negara yang menjadi tumpuan atau kiblat kepada negara-negara yang lain. Siapa yang sepatutnya menjadi pencetus kepada semua ini? Adakah kita ingin mengharapkan ada orang dari negara lain yang menjadi penggerak kepada usaha ini?
Juteru, saya menyeru kepada semua mahasiswa, agar kita semua bekerjasama dan berganding bahu bagi merialisasikan agenda untuk memartabatkan negara yang kita sayangi ini, dan seterusnya membawa bangsa dan maruah negara ini agar suatu hari nanti kita mampu menjadi sebuah negara yang dirujuk oleh semua bangsa di dunia ini. Demi perjuangan kita yang masih belum selesai, marilah kita sama-sama berusaha tanpa jemu dan tidak lupa juga untuk berdoa kepada Tuhan yang Maha Kuasa agar cita-cita dan apa yang kita inginkan akan tercapai. Insaya-Allah.
2 comments:
Saudara Afandy,
Pada dasarnya, saya bersetuju dengan apa yang engkau cakapkan. Dengan ini, saya ingin tahu apakah sikap saudara dengan kenaikan harga minyak runcit yang telah berlaku sebanyak 6 kali semenjak tahun 2004, iaitu semenjak perlantikan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri Malaysia kelima?
Ikhlas dalam Kristus,
Johnson.
SALAM ZIARAH. Blog yang sangat bermanfaat. Teruskan perjuangan Tuan Afandy
Post a Comment